SEKOLAH TINGGI CINA SABAH, PEPERIKSAAN PERTENGAHAN SEMESTER 2

BAHASA MALAYSIA KERTAS II, (TINGKATAN DUA)

TARIKH 20 OGOS 2011. MASA: 7.00-9.00 (120 minit)

 

ARAHAN: Kertas soalan ini mengandungi empat bahagian. Jawab semua bahagian.

 

Bahagian A

(i) (Masa yang dicadangkan: 40 minit) [20 markah]

Baca petikan dibawah dengan teliti . Berdasarkan petikan tersebut , tulis sebuah ringkasan tentang sebab - sebab pelajar tidak berdisiplin. Panjangnya ringkasan anda hendaklah tidak melebihi 80 patah perkataan. Anda digalakkan menggunakan ayat anda sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan.

 

Disiplin merupakan peraturan atau undang-undang yang bertujuan untuk membentuk para pelajar selari dengan kehendak agama, norma-norma masyarakat, dan undang-undang sesebuah negara. Di setiap sekolah terdapat peraturan yang perlu dipatuhi oleh setiap pelajar. Namun begitu, sesuatu yang mulia tidak mudah diterima oleh golongan pelajar. Gejala seperti ponteng sekolah , melawan guru, bersikap anti sosial, bergaduh, membuli, dan merokok merupakan masalah yang  sering diperkatakan. Apabila pelajar melanggar disiplin akan menjadi beban kepada guru untuk berusaha menanganinya.

Salah satu sebabnya ialah ibu bapa sibuk dengan kerjaya menyebabkan mereka kurang memberi perhatian terhadap keperibadian anak. Menjadi tanggungjawab ibu bapa mengajar anak mereka nilai-nilai murni yang perlu dilakukan oleh anak, contohnya mengajar cara bertutur dengan orang tua, berkelakuan baik, dan berpakaian yang sempurna ketika di sekolah. Lebih menyedihkan jika ada anak-anak yang membesar dengan asyik melihat pertengkaran dan pergaduhan di rumah yang akan menyebabkan jiwa mereka memberontak lalu melakukan perbuatan negatif di luar rumah.

Keadaan diburukkan lagi apabila tiada saluran yang betul untuk meluahkan perasaan tidak puas hati mendorong remaja ini untuk meluahkannya kepada rakan sebaya di luar rumah, terutamanya di sekolah. Selain itu kurangnya pengetahuan dalam mengawal emosi menyebabkan jiwa remaja memberontak dan kadangkala bertindak di luar batasan. Di sekolah, guru-guru mempunyai keterbatasan waktu, dalam mengimbangi tugas menghabiskan subjek dan mendidik pelajar menyebabkan pelajar yang berkelakuan negatif kurang di beri perhatian.

Seterusnya, kurangnya didikan agama menyebabkan remaja terdorong dalam aktiviti yang negatif. Situasi ini diburukkan lagi dengan sikap ibu bapa yang kurang memberi fokus terhadap perkembangan jiwa anak-anak yang sedang membesar. Di samping itu, terdapat kes remaja yang terlibat dalam salah laku disebabkan pengaruh rakan sebaya yang banyak merosakkan pemikiran dan cara bertindak. Rakan sebaya bukan sahaja yang masih bersekolah, tetapi mereka yang sudah menamatkan persekolahan . Mereka yang sudah menamatkan persekolahan akan mempengaruhi sikap yang lebih buruk berbanding yang masih bersekolah.

Kebanyakkan masalah bermula di rumah. Oleh itu, ibu bapa perlu menunjukkan contoh yang baik untuk diteladani. Setiap ibu bapa pastinya menginginkan anak-anak mereka menjadi baik, tetapi ibu bapa seharusnya terlebih dahulu menunjukkan teladan yang baik untuk diikuti. Selain itu, ibu bapa harus prihatin dengan pegerakan anak-anak untuk mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku.                                                  

 (Dipetik dan diubahsuaikan daripada “Pelajar Tidak Mengendahkan Peraturan sekolah”,                                                                          oleh Rosli Omar, Berita Harian, 12 Jun 2010)

(ii):Pemahaman [10 markah]

Berdasarkan petikan pada Bahagian A(i), jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.

 

1. Berikan maksud berusaha menanganinya yang terdapat dalam petikan.                                                         [2 markah]

2. Apakah peranan ibu bapa untuk mengatasi masalah disiplin yang dilakukan oleh anak-anak di sekolah?   [4 markah]

3. Pada pendapat anda, mengapakah remaja lebih mudah terpengaruh dengan pujukan rakan sebaya berbanding nasihat ibu bapa dan guru?                                                                                                                                 [4 markah]

 

 

Bahagian B (Masa yang dicadangkan: 25 minit) [20 markah]

Gambar di bawah menunjukkan sebuah kantin sekolah. Huraikan pendapat anda tentang peraturan kantin sekolah. Panjangnya huraian anda hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

 

PERATURAN KANTIN SEKOLAH

Bahagian C (Masa yang dicadangkan: 45 minit) [40 markah]

Tulis satu karangan daripada soalan-soalan di bawah. Panjang karangan itu hendaklah lebih daripada 180 patah perkataan.

 

1. Sahabat pena anda di luar negara telah meminta anda menceritakan sambutan Hari Kebangsaan yang diraikan oleh rakyat Malaysia.

Balas surat rakan anda itu.

2. Pelajar didapati kurang berminat menggunakan perpustakaan sekolah. Tulis laporan lengkap tentang punca-punca pelajar kurang berminat menggunakan perpustakaan.

3. Membaca banyak mendatangkan faedah kepada rakyat. Pada pendapat anda, apakah langkah-langkah yang perlu diambil untuk menggalakkan rakyat membaca?

4. Anda telah menyaksikan satu kejadian bencana alam yang amat menyayat hati dan menyebabkan kemusnahan yang besar.

Gambarkan kejadian tersebut dengan lengkap.

5. ‘Bagai aur dengan tebing’

Berdasarkan peribahasa di atas, tulis sebuah cerita yang menarik.

Bahagian D (Masa dicadangkan: 10 minit) [10 markah]

Berdasarkan novel Di Sebalik Wajah, karya Abang Saifuddin Abang Bohari, huraikan latar tempat yang terdapat dalam novel tersebut.

KERTAS SOALAN TAMAT

Disediakan oleh cikgu Ahmad bin Baharudin

Pertengahan Semester 2011